Neelofa kini berpurdah? Ini pandangan Pejabat Mufti WP tentang purdah atau niqab

Baru-baru ini, media melaporkan bahawa selebriti terkenal, Neelofa kini telahpun berpurdah atau berniqab. Hal itu, didedahkan oleh Neelofa sendiri melalui laman Instagram miliknya dan mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat. Ramai yang menyambut baik tindakan Neelofa itu, tapi ada juga yang bersikap skeptikal dengan perubahannya.

Namun, bagaimana pula dengan pandangan ulama tentang hukum berpurdah. Mari kita ketahuinya berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 2016.

Pandangan ulama ada yang mengatakan wajib dan sunat

Terdapat khilaf di dalam mazhab al-Syafie tentang hukum berniqab bagi wanita di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram) di luar solat. Sebahagian mereka mengatakan ianya wajib, sebahagian lain mengatakan sunat, dan sebahagian lain menyatakan ia khilaf aula (lebih baik ditinggalkan).

Bagaimanapun, Pejabat Mufti WP memilih bahawa aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi di luar solat adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Ia berdasarkan pandangan Imam Nawawi dalam kitabnya: al-Majmu bahawa Ibn Abbas menafsirkan ‘kecuali yang zahir’ dengan dengan ertinya kecuali wajah dan kedua tapak tangan. Pandangan ini juga dikaitkan dengan hadis nabi tentang wanita dalam keadaan ihram:

“Janganlah seorang wanita berniqab ketika melakukan ihram dan jangan pula dia memakai sarung tangan pada kedua tangannya.” – Hadis riwayat Imam Bukhari.

Akan tetapi, para ulama berpendapat wajib menutup wajah dan tapak tangan jika bimbang ia boleh membawa kepada fitnah dan syahwah. Malah, dalam kebanyakan waktu, orang lelaki diharamkan untuk melihat apa yang terdedah daripada wajah dan tapak tangan wanita melainkan kerana beberapa perkara seperti:

  1. Melihat perempuan yang ingin dinikahi semasa proses khitbah (merisik, meminang dan bertunang).
  2. Bagi tujuan kesaksian
  3. Bagi tujuan muamalat untuk memastikan suatu perkara (seperti belajar dan jual beli)
  4. Bagi tujuan pengubatan dan rawatan, dengan kehadiran mahram
  • Rujukan: Al-Mu`tamad fi Fiqh al-Syafie.

Makruh pakai purdah ketika solat

Namun. pemakaian niqab atau purdah ketika solat pula berbeza hukumnya dengan keadaan biasa. Perkara ini dijelaskan dalam kitab Kifaayatul Akhyar seperti berikut:

“Makruh hukumnya solat dengan memakai pakaian yang mempunyai gambar atau lukisan. Makruh juga wanita yang memakai niqob (purdah) ketika solat kecuali jika keadaan di masjid itu terdapat ajnabi yang tidak menjaga pendangan mereka. Namun jika dibimbangi terjadinya perkara yang buruk, maka haram ke atasnya untuk membuka niqob(purdah) tersebut.” Kifaayatul Akhyaar

Oleh itu, Pejabat Mufti WP berpendapatan:

“Kami berpandangan bahawa makruh bagi wanita untuk solat dalam keadaan memakai niqob atau purdah. Namun begitu jika terdapat sebab yang munasabah maka hukumnya harus. Melihat kepada suasana surau-surau dan masjid di Malaysia, tempat solat bagi wanita kebiasaannya adalah terlindung daripada pandangan lelaki ajnabi. Oleh itu, tidak timbul isu fitnah seperti yang diperkatakan.” – Pejabat Mufti WP.

 

Rujukan: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *