Terjaga waktu malam? Apa kata Solat Tahajjud dan ini panduannya

Berdasarkan penerangan dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Solat Tahajjud adalah solat atau sembahyang sunat yang dilakukan apabila terjaga dari tidur malam, walaupun tidur itu hanya sementara. Waktu solat ini adalah selepas Isyak sehingga terbit fajar menandakan siang hari.

Kelebihan Solat Tahajjud adalah:

  • Wajah akan bersih dan bercahaya semasa dibangkitkan di padang mahsyar.
  • Dimudahkan hisab.
  • Mudah melalui Titian Siratul Mustaqim.
  • Menerima anugerah catatan amalan dengan tangan kanan.
  • Jauh daripada kebinasaan.

Cara pelaksanaan solat ini tidaklah begitu berbeza dengan solat sunat-solat sunat lain. Berikut adalah cara-caranya:

  1. Solat ini adalah dua rakaat
  2. Melafazkan niat – Sahaja aku solat tahajjud dua rakaat kerana Allah Taala
  3. Membaca al-Fatihah di rakaat pertama dan kedua
  4. Membaca doa selepas solat.

Berikut adalah contoh bacaan doa (tetapi kita lebih digalakkan membaca doa seperti mana yang kita selesa).

“Ya Allah bagi-Mu segala pujian, Engkaulah Pencipta semua langit dan bumi serta segala yang terdapat di dalamnya. Bagi Engkau segala pujian,Engkaulah yang menerangi semua langit dan bumi dan orang-orang yang berada di dalamnya.

Bagi Engkau segala pujian, Engkaulah yang benar dan janji Engkau adalah benar, syurga dan neraka adalah benar, semua nabi Engkau adalah benar, Muhammad SAW adalah benar, dan hari kiamat adalah benar. Ya Allah kepada-Mulah aku serahkan diriku, aku percaya kepada Engkau, tempat aku berserah diri dan kepada Engkau aku kembali, dengan pertolongan Engkau aku menghadapi musuhku, kepada Engkau aku berhukum.

Ya Allah ampunilah dosa-dosaku yang terdahulu dan terkemudian,dosa yang tersembunyi dan yang nyata dan dosa yang hanya Engkau sahaja yang mengetahui. Engkaulah yang dahulu dan yang akhir, tiada tuhan kecuali Engkau dan tiada daya upaya kecuali dengan pertolongan Engkau.”

 

Rujukan: Bahagian Dakwah JAKIM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *